KUALA LUMPUR: Tiga lelaki telah ditahan di Jalan Kampung Pasir di sini awal pagi tadi kerana disyaki melakukan samun menggunakan senjata api tiruan dan menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata kejadian pada jam 3.30 pagi itu berlaku ketika sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Pantai sedang membuat rondaan.
Beliau menyatakan pasukan polis tersebut terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam.
Seorang mangsa lelaki tempatan kemudian melaporkan bahawa tiga suspek telah mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.
Suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi kejadian.
Polis turut menemukan beberapa barangan yang dirampas iaitu sepucuk pemetik api berbentuk pistol atau pistol tiruan.
Barangan peribadi mangsa berusia 17 tahun seperti telefon bimbit, dompet dan beg juga berjaya dirampas semula.
Dua motosikal yang digunakan suspek berusia 26 hingga 35 tahun turut dirampas dalam serbuan tersebut.
Modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Kumpulan ini dipercayai telah aktif melakukan kegiatan jenayah sejak enam bulan lepas.
Suspek akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi.
Mereka juga mengugut untuk membawa mangsa ke balai polis jika enggan berkerjasama dengan permintaan mereka.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Salah seorang suspek masih dikehendaki polis berhubung kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama