KOTA BHARU: Tiga lelaki Orang Asli maut selepas lori simen yang dinaiki mereka terbalik sebelum terjatuh ke dalam gaung di Lojing, Gua Musang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata kesemua mangsa yang berusia 40-an maut di tempat kejadian.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam10.40 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.41 tengah hari ini.

“Seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membawa ketiga-tiga mangsa keluar dari gaung itu.

“Kerja-kerja membawa keluar kesemua mangsa selesai pada jam 2.22 petang tadi dan mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat ketiga-ketiga mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kemalangan berkenaan berlaku di kilometer 89.5 Jalan Gua Musang-Lojing.

Beliau berkata siasatan mendapati pemandu lori sedang dalam perjalanan menghantar konkrit dari Blue Valley, Cameron Highlands menghala ke Lojing di Kelantan.

“Apabila lori itu tiba di kawasan berselekoh jalan bercerun menyebabkan lori itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penutup longkang konkrit dan menggelongsor masuk ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, kesan brek sepanjang 415 meter dikesan di atas jalan utama di lokasi kemalangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori bersama dua lagi penumpang lori maut di lokasi kemalangan manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu, diminta membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222.