• 2025-07-20 05:56 PM

KOTA BHARU: Tiga lelaki termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didenda antara RM3,000 hingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki gambar dan video lucah sejenis dalam telefon bimbit mereka.

Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, masing-masing didenda RM4,000 manakala Mohd Hanafi Ibrahim, 47, didenda RM3,000.

Kesalahan mereka dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor pada 1.15 pagi 18 Jun lepas mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan. Mereka memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat kerana kesalahan tersebut bertentangan dengan norma awam.

Peguam pembela Chong Yin Xin memohon denda minimum bagi ketiga-tiga tertuduh atas alasan mereka sudah insaf dan berjanji berubah.

“Mohd Hanafi mempunyai masalah kesihatan otak dan pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016. Muhammad Al Azamuddin adalah pelajar universiti tahun pertama, manakala Mohamad Syahmi Firas pelajar akhir IPT,“ katanya. - Bernama