WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata tiga individu maut dalam satu serangan tentera AS ke atas sebuah kapal di selatan negara itu yang didakwa membawa dadah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Risikan mengesahkan kapal itu sedang mengangkut narkotik haram dan melalui laluan penyeludupan yang diketahui menuju untuk meracuni rakyat Amerika,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social sambil menyiarkan video serangan berkenaan.
Buat masa ini tidak jelas sama ada ia merupakan serangan baharu atau butiran tambahan mengenai serangan terdahulu yang dilaporkan Trump beberapa hari lepas. Ditanya mengenai perkara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS berkata: “Kami tiada maklumat untuk dikongsikan selain daripada kenyataan Presiden.”
Trump berkata kapal berkenaan mempunyai kaitan dengan “Organisasi Pengganas Tentuan terlibat dalam penyeludupan narkotik di kawasan tanggungjawab USSOUTHCOM,” tanpa menamakan kumpulan tertentu.
Awal bulan ini, AS menyerang dan memusnahkan kapal di Caribbean. Sebelas orang terbunuh dalam serangan pertama manakala tiga lagi maut dalam serangan kedua. Trump turut melaporkan serangan itu melalui Truth Social.
Pada Selasa, Trump memberitahu pemberita bahawa AS telah memusnahkan tiga kapal, bukan dua. Hantarannya pada Jumaat tidak menjelaskan serangan mana yang dimaksudkan. Sebelum ini beliau mengaitkan Venezuela dengan serangan terdahulu, namun kali ini tidak menamakan mana-mana negara.
Serangan terbaharu itu menambah ketegangan antara Washington dan Caracas.
Beberapa pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam serangan maut itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan maritim.
Menurut laporan media, AS telah mengerahkan beberapa kapal perang di pesisir Caribbean Venezuela untuk memintas penyeludup dadah.
Presiden Venezuela Nicolás Maduro menyifatkan kehadiran tentera AS di Caribbean sebagai “ancaman terbesar” dalam tempoh satu abad- BERNAMA-dpa