KUALA TERENGGANU: Tiga individu maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu Rakit, Kuala Nerus, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang terkorban ialah sepasang suami isteri yang menaiki kereta jenis Proton Wira iaitu Muhammad Iqwan Ahmad Izeham, 23, dan Nur Mimi Aliya Mohd Shukri, 18.

Seorang penumpang kenderaan jenis Nissan Navara, Zaini Ambak, 56, turut maut dalam kemalangan itu, manakala suaminya Rasdi Yaakob, 58, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kira-kira 9.15 malam tadi, polis telah menerima laporan berkenaan kemalangan maut melibatkan dua kenderaan terbabit ... kereta dipandu Muhammad Iqwan sedang menghala ke Kuala Terengganu dari Setiu, manakala pasangan Rasdi pula menghala ke Penarik, Setiu.

“Hasil siasatan mendapati setibanya di lokasi kemalangan, Proton Wira terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Rasdi,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata kemalangan itu mengakibatkan Nur Mimi Aliya dan Zaini maut di lokasi kejadian, manakala Muhammad Iqwan yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ.

“Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya.