KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira 6 petang tadi.

Beliau berkata polis telah menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun susulan kejadian itu.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir sebelum ini memaklumkan laporan kehilangan wanita dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah dibuat rakan serumahnya pada 1.56 pagi, Khamis lepas.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slek hitam.