SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki merogol anak perempuan kandungnya sejak enam tahun lepas sehingga melahirkan anak di Gemencheh dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam, selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit daripada ibu saudara mangsa kira-kira setengah jam sebelum itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak 2019 sehingga Julai lepas. Mangsa yang juga tidak bekerja itu tidak mahu membuat laporan kerana takut terjadi apa-apa terhadap dirinya.

“Mangsa yang berusia 24 tahun telah melahirkan seorang anak perempuan yang kini berumur empat tahun. Susulan itu, lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.