• 2025-06-25 05:44 PM

IPOH: Tiga rakan yang berdepan pertuduhan mengedar 1.14 kilogram dadah jenis kanabis enam tahun lepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35, Mohd Suhaimi Ahmad, 42, dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38.

“Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan itu,“ katanya dalam penghakiman ringkasnya.

Bhupindar Singh berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting pertuduhan, termasuk identiti dadah serta percanggahan dalam berat, dengan perbezaan ketara kira-kira 90 gram.

Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar kanabis berkenaan di sebuah rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni di sini, kira-kira 7.45 malam, 17 Nov 2019.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala peguam Ranjit Singh Sandhu mewakili Mohd Nazreen Hazim, peguam Charan Singh mewakili Mohd Suhaimi dan peguam V. Santhiran mewakili Muhammad Shafiq.