SEPANG: Tiga suspek dalam kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu disambung reman tujuh hari lagi. Suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.
Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 8.40 pagi, dan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani, bermula esok hingga Khamis depan. Sebelum ini, mereka direman selama tujuh hari bermula 27 Jun, yang tamat hari ini.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini melaporkan bahawa empat individu termasuk suspek utama, iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, telah ditahan.
Mangsa, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dari Sarawak, ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya pada pukul 10 pagi, 24 Jun lalu. Mangsa dilaporkan tinggal bersendirian selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti.