KUALA LUMPUR: Tiga wanita warga China disyaki menjadi ejen sindiket wang palsu ditahan selepas dipercayai menggunakan wang kertas RM100 palsu bagi membayar sewa bilik sebuah hotel di ibu negara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua suspek berusia antara 18 hingga 47 tahun itu telah membuat bayaran sebanyak RM8,700 menggunakan 87 keping wang kertas RM100 yang disahkan palsu.
“Semasa tangkapan, polis turut merampas 87 keping wang kertas RM100 disyaki palsu, sekeping wang tunai RM50 dan RM20, dua beg silang jenama Louis Vuitton, tiga telefon bimbit jenis iPhone serta kad akses bilik hotel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu dan semua suspek direman selama enam hari bermula 4 Julai lalu sehingga 9 Julai ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengedarkan semula wang yang disyaki palsu, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.