SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan tiga lelaki warga asing di perairan utara Kuala Mumiang semalam kerana disyaki cuba menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 16 hingga 39 tahun itu ditahan pada pukul 12.45 tengah hari ketika berada di kedudukan 8.79 batu nautika dari pantai.
Pemeriksaan ke atas bot yang dinaiki mereka menemukan 120 pek minyak masak bersubsidi yang hendak diseludup keluar.
Suspek dilihat membuang beberapa objek ke laut setelah menyedari kehadiran bot rondaan Maritim Malaysia.
Wang tunai sebanyak RM6,850 milik seorang suspek turut dirampas dalam operasi tersebut.
Kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala bot yang digunakan juga tidak berdaftar.
Suspek bersama barang rampasan bernilai lebih RM7,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002. – Bernama