• 2025-09-12 09:29 PM

KUALA LUMPUR: Kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan tidak mencerminkan pendirian rasmi Universiti Malaya.

Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menegaskan program matrikulasi negara merupakan sistem pendidikan menyeluruh yang terbukti berperanan menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar pelbagai latar belakang.

Beliau menjelaskan sistem matrikulasi adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua.

“UM kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara,“ katanya menerusi kenyataan.

Noor Azuan menekankan UM sentiasa menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus selaras semangat keterbukaan dan intelektualisme asas institusi pengajian tinggi.

“Namun demikian, kebebasan ini perlu diiringi rasa tanggungjawab serta pertimbangan wajar terhadap sensitiviti dan implikasi kenyataan yang dibuat, terutama melibatkan dasar awam,“ tambahnya.

Terdahulu, Presiden UMANY Tang Yi Ze dilaporkan menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dijadikan piawaian tunggal kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan turut mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi selain risau pemansuhannya akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar.

MPPK menerusi kenyataan berkata program matrikulasi telah terbukti memainkan peranan besar menyediakan landasan efektif melahirkan mahasiswa cemerlang serta menampung keperluan tenaga mahir negara.

“MPPK mengecam sebarang tindakan, desakan atau pendekatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan masyarakat,“ menurut kenyataan itu.

Setiap isu pendidikan perlu dibincangkan dengan rasional dan profesional bukannya berpandukan emosi atau kepentingan tertentu semata-mata.

Perancangan dasar pendidikan perlu berteraskan kepentingan jangka panjang negara dengan mengutamakan agenda pembangunan insan serta memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat sistem pendidikan saksama dan berkualiti.

MPPK menyeru agar perbincangan mengenai masa depan pendidikan dilaksanakan dengan semangat keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan. – Bernama