KUANTAN: Tindakan merampas atau melucut hak terhadap pemilik tanah yang gagal membayar cukai tanah di Pahang dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebelum tindakan melucut hak dilaksanakan pemilik tanah akan diberikan notis, antaranya untuk membayar tunggakan terlebih dahulu.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 1,082 hak milik tanah telah dilucut hak oleh pentadbir tanah di seluruh Pahang manakala jumlah kutipan hasil penalti yang dikutip sebanyak lebih RM1.4 juta.

“Tanah kalau tak bayar cukai pun kita rampas tetapi bagi notis dahalu, maknanya prosedur dan peraturan ditetapkan kita patuhi,“ katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) yang ingin tahu jumlah hak milik tanah yang telah dirampas dan tidak dikembalikan kerana gagal membayar cukai tanah dan jumlah penalti yang diperoleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilik tanah boleh berunding dengan pentadbir tanah jika terdapat isu berbangkit kerana kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya akan membatalkan hak milik dan menyerahkannya kepada orang lain.