LANGKAWI: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sebuah kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) jenis Swift Sea Stalker (S3) daripada syarikat Swiftships yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi memperkasa keupayaan dalam pertahanan maritim.

TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan USV S3 itu bakal memberi kelebihan kepada armadanya bagi meningkatkan keupayaan peperangan maritim daripada segi aktiviti pengawasan dan perisikan.

“Ia boleh dilengkapkan dengan persenjataan yang meningkatkan daya cegah rintang dalam peperangan maritim dan membuka peluang baharu bagi TLDM menerokai platform tanpa pemandu yang juga dapat menyokong visi Angkatan Tentera Malaysia terutama dalam Pelan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan,” menurut kenyataan itu.

Majlis simbolik penyerahan berlangsung di Pavilion TLDM di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini antara Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Naib Presiden Eksekutif Swiftships Kristina Paskeviciute dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Menurut kenyataan itu, TLDM telah mula mengoperasikan platform tanpa pemandu dengan pewujudan Skuadron 601 yang menggunakan aset udara iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) jenis ScanEagle sebagai force multiplier di dalam operasi maritim.

Swiftships adalah syarikat pembinaan kapal dan kejuruteraan marin serta beroperasi secara global khususnya dalam pembinaan kapal bersaiz kecil hingga sederhana yang diperbuat daripada keluli, aluminium dan gentian kaca.