KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Turkiye dan London bermula Selasa ini dalam usaha meninjau peluang kerjasama dalam bidang peralihan tenaga.
Lawatan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ke Turkiye adalah susulan daripada lawatan rasmi Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada 10-11 Februari lepas.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan agenda Fadillah di Ankara termasuk melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Presiden Turkiye Cevdet Yilmaz pada 22 April ini.
Beliau kemudiannya melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga susulan pertukaran surat hasrat di antara kedua-dua kerajaan.
“Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan kerja ke Syarikat GEAS untuk meneroka potensi kerjasama yang dapat dilaksanakan dalam bidang strategik itu,“ kata PETRA.
Turkiye merupakan antara negara terbesar dalam penghasilan tenaga boleh baharu (TBB) di benua Eropah dan dunia dengan lebih 50 peratus kapasiti tenaga elektrik daripada sumber penjanaan tenaga bersih seperti solar, hidroelektrik dan geotermal.
Selepas lawatan di Turkiye, Fadillah seterusnya akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak atau Summit On The Future of Energy Security pada 24-25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Kerajaan United Kingdom (UK).
Menurut PETRA sidang kemuncak itu menyediakan platform bagi para pemimpin, penggubal dasar dan pihak berkepentingan berbincang serta bertukar pandangan mengenai keselamatan sumber dan bekalan tenaga, kepentingan kestabilan geopolitik dan ekonomi global serta perkembangan pesat teknologi dalam pembangunan sektor tenaga.
“Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan penyertaan pemimpin peringkat tertinggi pelbagai negara dan agensi tenaga seperti Perdana Menteri UK Keir Starmer, Setiausaha Tenaga UK Ed Miliband serta Pengarah Eksekutif IEA Dr Fatih Birol.
Fokus utama persidangan menyentuh aspek keselamatan sumber dan bekalan tenaga merangkumi pemetaan lanskap keselamatan tenaga serta mengenal pasti risiko, peluang dan tindakan dalam memastikan keterjaminan sumber dan bekalan tenaga.
“Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Fadillah adalah satu pengiktirafan terhadap komitmen, peranan dan pencapaian Malaysia dalam mendepani pelbagai isu berkaitan tenaga khasnya keselamatan bekalan dan peralihan tenaga,“ kata kenyataan itu.
PETRA juga memaklumkan menerusi sidang kemuncak itu, Malaysia akan mengetengahkan dasar sedia ada dan hala tuju negara khususnya berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), usaha dan komitmen negara melaksanakan penjanaan tenaga pada masa depan menggunakan sumber bahan api bersih dan teknologi hijau.
Selain itu, hubungan dua hala Malaysia dan UK akan diperkukuhkan melalui penerokaan potensi kerjasama khususnya berkaitan penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik untuk memastikan keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga.
Pada masa sama, Fadillah akan turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri-menteri Tenaga serta ketua-ketua organisasi antarabangsa tenaga.
Peluang itu, kata PETRA, akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan, membuka peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan mendapatkan penjelasan berhubung dasar dan hala tuju negara, khususnya dalam membangunkan sektor tenaga serta teknologi rendah karbon ke arah menyokong aspirasi peralihan tenaga negara.