JERTIH: Reman terhadap pemandu bot yang terlibat dalam tragedi maut di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas disambung sehari lagi hingga esok. Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Besut hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemandu bot berusia 22 tahun itu sebelum ini direman tiga hari bermula Isnin lepas selepas didapati positif dadah. Kejadian bot pelancong terbalik di perairan Pulau Perhentian itu mengakibatkan tiga kematian, termasuk dua kanak-kanak.
Mangsa yang terkorban ialah S Arumugam, 40, anaknya A Sarrvihka, 3, dan V Vennpani, 10. Dua lagi mangsa masih dirawat di hospital, dengan seorang dalam keadaan kritikal. Kesemua penumpang bot berusia antara tiga hingga 40 tahun itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam sebelum bot terbalik akibat ombak besar.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu mengesahkan pemandu bot itu positif dadah dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang.