TAPAH: Satu lagi mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh iaitu seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas pada pukul 9.50 malam ini, menjadikan jumlah mangsa yang ditemukan setakat ini kepada dua orang.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai anak Aszura Bani, 37, mangsa lemas pertama ditemui kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

“Dengan bantuan orang kampung, kanak-kanak itu ditemukan di tepi sungai dalam keadaan tersangkut pada ranting kayu,“ katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Terdahulu kejadian kira-kira 4 petang tadi, enam sekeluarga dan seorang pembantu rumah terperangkap dalam kepala air ketika sedang berkelah di Sungai Kenjur.

Dalam kejadian itu kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, anak lelakinya Muhammad Adam Muhkris Rozi,11, dan seorang pembantu rumah terselamat sementara dua anak Aszura masih belum dijumpai.

Terdahulu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit ditangguhkan pada pukul 7.30 malam ini dan akan disambung esok.

Namun atas usaha penduduk kampung yang mengambil inisiatif terus mencari mangsa berjaya menemukan mayat kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Mohd Naim menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti melibatkan air ketika musim Monsun Timur Laut. –Bernama