KAMPAR: Tiga mangsa yang lemas ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng di sini petang tadi merupakan petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan JKR Langkawi, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata mangsa dikenal pasti sebagai Suhali Mat Saad, 47, iaitu jurutera daerah SPT yang beralamat di Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Dua mangsa lagi dikenal pasti sebagai Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, (penolong jurutera kanan JKR Langkawi) yang beralamat di Kuaters JKR Ayer Hangat, Kuah, Langkawi dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, (pegawai khidmat pelanggan JKR Langkawi) beralamat di Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.
Mohamad Nazri berkata kejadian dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan air Sungai Jahang naik mendadak mengakibatkan satu bot water rafting yang dinaiki enam penumpang dan seorang guide atau pemandu peserta terbalik.
Beliau berkata kesemua penumpang dihanyutkan air dan tiga mangsa tidak dapat diselamatkan kerana lemas.
Beliau berkata sebelum itu empat bot water rafting dari sebuah resort melibatkan 21 penumpang, lima pemandu peserta dan seorang jurugambar telah berlepas ke Sungai Jahang untuk aktiviti berkenaan.
Kesemua pengunjung menginap di resort tersebut untuk program team building iaitu tujuh peserta dari JKR Langkawi manakala 14 peserta dari JKR SPT, Pulau Pinang.
Sementara itu, ketiga-tiga mayat mangsa tiba dengan kenderaan polis di Unit Forensik Hospital Kampar kira-kira 9.50 malam tadi untuk proses bedah siasat.
Terdahulu polis menerima maklumat pada 5.50 petang tadi mengenai dua lelaki dan seorang wanita ditemukan lemas di Sungai Kampar selepas dibawa arus deras akibat hujan lebat ketika melakukan aktiviti water rafting.