WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pengarahannya untuk memecat Pesuruhjaya Biro Statistik Buruh Erika McEntarfer, mendakwa pegawai itu memanipulasi data pekerjaan.
“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa “angka pekerjaan” negara kita dihasilkan oleh seorang lantikan Biden, Dr Erika McEntarfer, Pesuruhjaya Statistik Buruh yang memalsukan angka pekerjaan sebelum pilihan raya bagi meningkatkan peluang kemenangan Kamala (Harris),” kata Trump dalam hantaran di Truth Social tanpa bukti.
Beliau menegaskan keperluan data pekerjaan yang tepat dan mengarahkan pemecatan McEntarfer serta-merta. Pengumuman itu dibuat selepas laporan pekerjaan Julai menunjukkan hanya 73,000 pekerjaan baharu ditambah, lebih rendah daripada jangkaan.
McEntarfer dilantik oleh Presiden Joe Biden pada 2023 dan disahkan oleh Senat pada Januari 2024 dengan sokongan dwipartisan. - Bernama