• 2025-06-22 11:41 AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu berkata tentera AS telah melaksanakan serangan udara yang “sangat berjaya” ke atas tiga tapak nuklear Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap tercetusnya konflik yang lebih meluas di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Trump berkata serangan melibatkan “muatan penuh” bom digugurkan ke atas tapak nuklear utama Iran di Fordo manakala serangan tambahan dilakukan ke atas kemudahan di Natanz dan Esfahan. Semua pesawat pejuang AS telah keluar dari ruang udara Iran.

“Semua pesawat kini dalam perjalanan pulang dengan selamat. Tahniah kepada Pahlawan Amerika kita yang hebat. Tiada tentera lain di dunia ini yang mampu melaksanakan misi ini.

“SEKARANG ADALAH MASA UNTUK KEAMANAN! Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini,“ lapor agensi itu mengenai kenyataan Trump di media sosial.

Kemudahan nuklear Fordo ialah tapak pengayaan uranium bawah tanah berhampiran Qom dan merupakan kemudahan nuklear Iran yang paling dalam serta paling kukuh, direka untuk menahan serangan udara konvensional.

Iran sebelum ini memberi amaran keras kepada Trump supaya tidak campur tangan dalam konflik dengan Israel, sambil menyatakan bahawa penyertaan langsung AS dalam permusuhan itu akan membawa kepada “akibat yang tidak dapat dipulihkan”.

Trump berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran dan menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, sesuatu yang berulang kali dinafikan Iran.

Permusuhan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa tapak di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Kedua-dua pihak melaporkan kematian dan kecederaan dalam siri serangan udara yang masih berterusan.