• 2025-07-30 10:38 AM

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan perbincangan pelbagai isu penting termasuk cadangan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia, potensi penggunaan tenaga nuklear, dan pembinaan sekolah berkonsep menegak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dikeluarkan Parlimen, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) akan mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai perkembangan terkini penubuhan tribunal tersebut.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula meminta penjelasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai kesediaan Malaysia dalam menerokai tenaga nuklear serta kerjasama dengan agensi antarabangsa.

Isu pembinaan sekolah menegak setinggi 10 hingga 17 tingkat turut dibangkitkan oleh Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), termasuk langkah keselamatan yang akan dilaksanakan.

Sementara itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) meminta Kementerian Luar menjelaskan sama ada kerajaan Sabah akan dilibatkan dalam rundingan berkaitan isu Ambalat bagi memastikan kepentingan negeri terpelihara.

Selepas sesi soal jawab, sidang diteruskan dengan pembentangan beberapa rang undang-undang termasuk RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025, RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025, dan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025.

Persidangan ini dijangka berlangsung selama 24 hari dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dijadual dibentangkan pada Khamis ini. - Bernama