• 2025-07-31 12:33 PM

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, hari ini.

Pengesahan itu dibuat susulan jemputan rasmi yang disampaikan kepada Trump menerusi Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika kunjungan hormat beliau ke Pejabat Perdana Menteri pada 10 Julai lalu.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada 6.50 pagi, saya berpeluang bercakap melalui telefon dengan Presiden Trump.

“Beliau menyatakan penghargaan kerana Malaysia telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja,” katanya.

Perbualan itu turut menyentuh isu perdagangan, termasuk tarif serta rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama United States Trade Representative dan Setiausaha Perdagangan AS.

“Setelah mendapat penjelasan dari saya, maka beliau memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok,” kata Anwar.

Pada 10 Julai, Rubio yang berada di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di bawah Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025, memaklumkan bahawa pentadbiran Washington berusaha memuktamadkan tarikh sesuai bagi lawatan Trump ke Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 juga dijadual berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kali terakhir Presiden AS menghadiri sidang kemuncak berkenaan di Kuala Lumpur ialah pada November 2015 menerusi kehadiran bekas Presiden Barack Obama - BERNAMA