KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dengan kes pecah masuk sebuah pejabat di Ampang, Selangor pada 14 Dis lepas yang melibatkan kerugian kira-kira RM150,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada 17 Dis hingga semalam.
“Sebelum ini polis menerima satu laporan daripada seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun yang memaklumkan pejabatnya dipecah masuk dengan tombol pintu pejabat telah diumpil.
“Hasil pemeriksaan, mangsa (lelaki) mendapati pelbagai barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, kamera, topi keledar, wang tunai RM90,000 dan beberapa mata wang asing hilang, melibatkan kerugian lebih kurang RM150,000,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, katanya polis telah melakukan beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan berjaya menahan kesemua suspek selain merampas pelbagai telefon bimbit, komputer riba, topi keledar, mesin pelbagai jenama, mata wang asing serta sebuah motosikal.
Siasatan awal polis mendapati, kumpulan terbabit yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas, sering menyasarkan premis serta kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rumah dengan melakukan perbuatan jenayah itu pada awal pagi.
“Kumpulan ini dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya empat kes pecah pejabat dan curi termasuk curi kereta di kawasan Lembah Klang.
“Tujuh daripada suspek mempunyai antara dua hingga 24 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah serta dadah termasuk rekod dikehendaki polis,” katanya.
Mohd Azam berkata lima suspek dibebaskan dengan jaminan polis manakala tiga lagi direman bermula semalam hingga 6 Jan ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.