KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan kurang upaya bulan lepas.

Muhammad Arif Zulfakar Abdul Razak, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berkenaan yang ketika kejadian berumur 17 tahun, di tandas sebuah pusat latihan kemahiran di Taman Keramat di sini, pada 6.30 petang, awal Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima kerana anak guamnya yang bekerja sebagai tukang jahit perlu menanggung keluarga.

Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir yang menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Di mahkamah sama, juruteknik Ahmad Nizar Ahmad Aminudin, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut seorang lelaki berumur 46 tahun dengan mengacukan pisau terhadap mangsa, di sebuah kedai makan di hadapan flat Taman Dato Ahmad Razali di sini, pada 28 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norhidayah menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Vinobha Doss daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili lelaki itu memohon jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Julai ini.