KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan berjumlah RM50,000 dalam kes culik seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu, lapan tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani mengarahkan Suparman Aman, 46, menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang tebusan, iaitu wang tunai kepunyaan sebuah syarikat yang juga majikan mangsa di ladang kelapa sawit itu pada 3 pagi, 24 Jan 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris memohon hukuman paling maksimum dan katanya, tertuduh bertuah kerana ditawarkan pertuduhan pilihan selain mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam.

Peguam Ghazali Ismail yang mewakili Suparman memohon hukuman ringan kerana pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Hassan sebelum menjatuhkan hukuman itu bertanyakan sama ada tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan perasaannya setelah berjauhan dengan isteri serta tiga anaknya.

Hakim itu turut menasihati Suparman yang menyesal atas perbuatannya supaya sentiasa mengingati anak dan isteri sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Ingatlah, kasihan pada anak dan isteri. Akhirnya, isteri juga yang menjadi mangsa,“ katanya selepas dimaklumkan Ghazali bahawa isteri tertuduh terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga setelah Suparman ditahan polis.

Pada 2 Julai 2020, tiga lagi rakan subahat Suparman iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa, dan Abdul Hadi Abu Bakar yang ketika itu masing-masing berusia 40, 42, dan 25 tahun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengikut Seksyen 3 akta sama.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tujuh sebatan terhadap Mohd Zairol Nizan dan masing-masing lima sebatan terhadap Mohd Khairul Anuar dan Abdul Hadi.