KUALA LUMPUR: Stigma negatif terhadap penagih dadah perlu diubah bagi membolehkan golongan itu tampil mendapatkan rawatan dan bantuan profesional untuk pulih daripada penagihan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata seperti individu biasa, golongan itu juga tidak lari daripada membuat kesilapan dalam kehidupan, cuma yang membezakan ialah mereka ‘sedikit’ tersasar kerana menyalahguna bahan terlarang itu.

Beliau berkata seandainya masyarakat lebih memahami keadaan mereka dan bersedia memberi peluang kedua, beliau percaya golongan itu akan menyinar kembali dalam kehidupan kerana masing-masing memiliki potensi tersembunyi.

“Seperti saya dululah, macam-macam cabaran dan kritikan diterima semasa mula-mula masuk dalam (dunia) politik. Yalah, daripada seorang doktor yang merawat pesakit tiba-tiba menjadi seorang ahli politik sampai ada satu ketika, hendak bercakap (berucap sebagai ahli politik) pun saya tidak tahu, jadi bagaimana caranya hendak orang undi saya?

“...akhirnya saya terpaksa belajar (berucap). Sebab itulah saya rasa setiap orang itu memang akan ada cabaran sendiri, memang akan buat kesalahan dalam kehidupan atau mungkin terpesong dan tersasar tapi kita jangan terus berasa kerdil dan masyarakat pula jangan terus menilai, sebaliknya beri peluang kedua,,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi di sini, hari ini, yang turut dihadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata program hari ini bertujuan memberi informasi dan pendedahan berkaitan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang disediakan AADK.

Beliau berkata ia juga adalah sebagai satu cara meningkatkan usaha-usaha kolaboratif dengan jabatan- jabatan Kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah dalam komuniti.

AADK turut melancarkan perkhidmatan baharu iaitu rawatan dan pemulihan dadah secara atas talian melalui Hotline Tele-Hello AADK di talian bernombor 1-800-22-2235 atau Whatsapp 019-626 2233, sebagai tambahan inisiatif lain dalam program hari ini.

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata AADK turut menggiatkan usha mempromosi usaha rawatan penagihan dadah secara sukarela.

“Mengikut statistik pada tahun 2023, direkodkan 961 orang klien sukarela menjalani rawatan dan pemulihan di dalam institusi dan 1,499 orang klien sukarela menjalaninya di dalam komuniti. Jumlah ini amat sedikit berbanding klien yang menjalani program rawatan dan pemulihan secara mandatori iaitu 8,958 orang di PUSPEN dan 63,873 orang di dalam komuniti,” katanya.