KUALA SELANGOR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global dalam memperkukuh keberhasilan siswazahnya selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UiTM disarankan memfokuskan latihan keusahawanan kepada penuntut agar universiti itu bukan sahaja melahirkan siswazah profesional tetapi juga mampu mencipta pekerjaan.
“Nilai kadar pengangguran bumiputera yang kini berada pada empat peratus lebih tinggi daripada kadar nasional,“ katanya ketika berucap pada program Outreach PuTERA35 di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata daripada hampir 388,000 orang yang menganggur, 70% ialah belia berumur 15 hingga 30 tahun yang majoritinya anak bumiputera.
“Inilah cabaran besar yang harus kita tangani, namun ia peluang untuk kita bangkit bersama, kita mesti mencipta kerja bukan hanya mencari kerja,“ katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau mempunyai keazaman untuk memperkukuh agenda TVET dan keusahawanan secara bersama.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan latihan keusahawanan, perniagaan dan perakaunan boleh melahirkan lebih ramai usahawan dalam negara.
“Saya yakin, dengan sokongan PuTERA35 melalui pembiayaan, inkubasi dan kerjasama industri, UiTM mampu muncul sebagai pusat usahawan TVET unggul di rantau ini,“ katanya.
Ahmad Zahid berkata data terkini menunjukkan dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, hanya 7% sahaja dimiliki majoriti bumiputera.
Daripada 945 syarikat tersenarai setakat 2022, hanya 62 syarikat berada di bawah kawalan lebih 50% milik bumiputera.
Beliau berkata dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, hanya satu syarikat bumiputera berjaya disenaraikan berbanding 96 syarikat bukan bumiputera.
“Kita bukan cemburu dan bukan menanamkan kebencian, tetapi kita melakukan muhasabah dan kritikan kendiri sebab perkara ini berlaku,“ katanya.
Beliau menekankan angka ini menunjukkan jurang penguasaan korporat yang masih begitu besar dan mesti ditangani segera.
“Kita mesti berjalan ke hadapan untuk menyenaraikan lebih banyak lagi syarikat bumiputera di Malaysia dan insya-Allah menjelang akhir tahun ini akan ada lagi (syarikat disenaraikan),“ katanya.
Ahmad Zahid berkata lebih banyak syarikat bumiputera perlu disenaraikan di pasaran terbuka agar dapat menjadi pemangkin kepada syarikat bumiputera lain untuk mengikuti langkah sama. – Bernama