GEORGE TOWN: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah baharu apabila buat kali pertama melancarkan program latihan industri antarabangsa, iaitu UniMAP@3i – singkatan kepada International Industry Internship – kepada para pelajarnya.
Menerusi program inovatif itu, ia membuka peluang kepada pelajar UniMAP untuk menjalani latihan industri di luar negara sekali gus memberikan pendedahan global yang akan membantu dalam membina kerjaya masa depan mereka.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata program UniMAP@3i direka khusus bagi menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman kerja sebenar di syarikat antarabangsa di luar negara.
“Ia bukan sekadar latihan industri biasa kerana program ini disusun secara teliti dan menyeluruh bagi memberikan pengalaman holistik yang merangkumi pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi dan keyakinan diri serta pendedahan kepada budaya kerja antarabangsa.
“Malah, UniMAP@3i menampilkan beberapa elemen istimewa yang membezakan program ini dengan latihan industri konvensional,” katanya kepada pemberita selepas majlis UniMAP Industry Eminence Awards 2025 di sini malam tadi.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniMAP Tan Sri Sufri Mhd Zin dan turut diadakan penyampaian anugerah kecemerlangan kepada 29 industri yang memberikan kerjasama terbaik dalam hubungan kerjasama dengan UniMAP.
Zaliman berkata antara elemen dalam program itu ialah padanan teliti antara pelajar dengan syarikat luar negara yang sesuai dengan bidang pengajian dan minat mereka, latihan prapenempatan untuk persediaan dari segi budaya dan suasana tempat kerja.
Selain itu, katanya pihak UniMAP turut menzahirkan sokongan penuh kepada pelajar sepanjang tempoh latihan industri, malah telah melaksanakan sesi susulan selepas pelajar tamat latihan bagi menilai pencapaian dan impak program.
“Kali ini, sebanyak 11 pelajar daripada bidang kejuruteraan dan keusahawanan telah terpilih untuk menyertai fasa pertama program sekali gus mencerminkan fokus UniMAP ialah pembelajaran pelbagai kemahiran,” katanya.
Beliau berkata mereka telah dihantar ke empat negara, iaitu Indonesia, Thailand, Jepun, dan Turkiye serta disesuaikan penempatan di syarikat yang menepati bidang pengajian bagi membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi kerja sebenar.
Menurut Zaliman, UniMAP juga merancang untuk memperluas skop UniMAP@3i pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pelajar, negara dan syarikat antarabangsa.
“Kejayaan kumpulan perintis ini diharap dapat menjadi pencetus inspirasi kepada pelajar lain untuk turut merebut peluang, di samping mempamerkan UniMAP@3i ialah bukti komitmen UniMAP dalam melahirkan graduan bercirikan global, berdaya tahan, dan bersedia menghadapi cabaran kerjaya antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP Prof Madya Dr Najmuddin Hassan berkata program itu ialah langkah penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing pada peringkat global.
Katanya, program berkenaan bukan hanya mengenai bekerja di luar negara, tetapi ia juga bertujuan membentuk pelajar menjadi individu yang lebih matang, memahami budaya asing, menyelesaikan masalah sebenar dan membina rangkaian antarabangsa.
“Paling penting, kami mahu mereka bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja di dunia dan saya yakin program itu boleh berjaya kerana UniMAP@3i turut mendapat sokongan penuh daripada TalentCorp (Talent Corporation Malaysia Bhd), melalui inisiatif MyNext Mobility bertujuan menjadikan peluang latihan industri antarabangsa lebih mudah diakses oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang ekonomi,“ katanya.
Beliau berkata pihak TalentCorp akan menyumbangkan tiket penerbangan pergi dan balik, yuran permohonan visa dan elaun sekali bayar bagi menampung perbelanjaan awal pelajar manakala syarikat tuan rumah di luar negara pula akan menyediakan penginapan percuma sepanjang tempoh latihan.