• 2025-07-30 02:53 PM

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang pesara polis berpangkat Sarjan Mejar membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 573.6 gram, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Aminuddin Amir, 66. Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi dan mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Oktober untuk prosiding bela diri.

Dia didapati mengedar kanabis seberat 573.6 gram di pondok belakang rumah di Batu Kikir, Jempol pada 14 Sept 2022. Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi dan peguam G. Subramaniam Nair mewakili tertuduh. - Bernama