PASIR MAS: Usaha membanteras jenayah rentas sempadan akan dimantapkan lagi dengan kehadiran Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), yang bakal menjalankan penugasan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bermula daripada Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang, mulai esok.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata Unit Berkuda PSP itu akan membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan jabatan lain dalam dalam penugasan menjaga keselamatan sempadan dalam Op Wawasan Kelantan.
Beliau berkata enam ekor kuda dengan kekuatan seorang pegawai dan 15 anggota akan menjalankan tugasan selama dua minggu secara bergilir-gilir, melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok iaitu dari Pos kawalan PGA ke pos yang lain yang dikenal pasti sebagai lokasi panas berlakunya penyeludupan.
“Antara keupayaan asas kuda yang menjadikan setiap penugasan yang dilaksanakan dapat dijalankan secara maksima adalah berkeupayaan menjalankan rondaan di kawasan yang luas, berbukit, sungai, kawasan sempit yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan dan pantai berpasir,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan, di sini hari ini, dan majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam DCP Muhammad Abdul Halim serta Timbalan Komander PSP, ACP Rosman Kasman.
Mengulas lanjut Shafien berkata buat sementara waktu kesemua kuda itu akan ditempatkan di Kompleks PGA Lubok Gong dibawah Martek Briged Tenggara PGA.
Sementara itu Shafien berkata dalam usaha memperkasakan kawalan sempadan, tiga ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) akan turut digunakan bagi mengesan kemasukan barang terlarang seperti dadah, senjata api dan bahan letupan.
Katanya kesemua anjing ini amat berkesan dalam menangani tugasan yang tidak dapat dilakukan oleh manusia dan kehadiran unit itu sudah pasti dapat membantu dalam mengesan penyeludupan dadah dan senjata api di kawasan sempadan.
“Selain Unit Berkuda dan K9, kita juga menggunakan dron dan Unit Khas PGA iaitu Platoon Tiger yang turut menjalankan rondaan di kawasan lokasi panas.
“Unit yang yang akan membantu termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Unit Rondaan Bermotosikal,“ katanya yang yakin usaha ini akan dapat membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan khususnya di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. - Bernama