• 2025-08-02 10:09 AM

ANKARA/ISTANBUL: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini, mengutuk keras sekatan Israel yang menghalang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui laluan darat. Beliau menegaskan penghantaran udara sebagai “tidak berkesan, tidak mencukupi, dan 100 kali lebih mahal berbanding lori.”

“Lori mampu membawa bantuan dua kali ganda lebih banyak daripada pesawat,“ kata Lazzarini dalam kenyataannya. Beliau mempersoalkan mengapa Israel terus mengutamakan penghantaran udara sedangkan laluan darat masih ditutup.

“Jika ada kemahuan politik untuk membenarkan penghantaran udara yang mahal dan tidak praktikal, sepatutnya ada kemahuan sama untuk membuka sempadan darat,“ tegasnya.

Lazzarini memberi amaran bahawa banjirkan Gaza dengan bantuan adalah satu-satunya cara menangani krisis kebuluran. “UNRWA, agensi PBB terbesar di Gaza, mempunyai 6,000 lori penuh bantuan terperangkap di sempadan, menunggu kebenaran masuk,“ jelasnya.

Beliau mengingatkan kejayaan gencatan senjata sementara awal tahun ini, di mana 500-600 lori bantuan berjaya masuk setiap hari. “Bantuan sampai dengan selamat dan berjaya mengurangkan kebuluran tanpa sebarang penyalahgunaan,“ katanya.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin, majoriti wanita dan kanak-kanak. Kekejaman ini turut memusnahkan infrastruktur dan mencetuskan krisis makanan teruk.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu atas tuduhan jenayah perang. Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. - BERNAMA-ANADOLU