GEORGE TOWN: Ketirisan dan penyelewengan dalam sektor awam bukan sahaja menjejaskan pengurusan kewangan negara malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan dana awam perlu diurus dengan penuh akauntabiliti.
“Penyelewengan dan kelemahan sistem kawalan dalaman membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta membebankan rakyat,“ katanya.
Antara kes besar yang memberi impak termasuk Op Water Sabah membabitkan projek bekalan air bernilai RM3.3 bilion serta kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disabitkan 96 pertuduhan pemalsuan dan pengubahan wang haram.
SPRM juga berjaya menyita aset mewah bernilai lebih RM3.5 bilion dan melucut hak hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun lepas.
“Kepada yang bermewah-mewah dengan wang rasuah, SPRM akan ambil semula wang ini kerana ia adalah wang rakyat,“ tegas Azam.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutup Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 bertemakan “Integriti Kewangan: Menguatkuasakan Kepatuhan dan Pencegahan Penyelewengan dalam Perkhidmatan Awam” di Teluk Bahang.
Azam turut menyokong cadangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang akan dibentangkan tahun ini bagi memperkukuh sistem perolehan lebih telus dan berlandaskan undang-undang.
Beliau juga menyeru akauntan dan juruaudit sektor awam berani melaporkan penyelewengan tanpa rasa takut.
“Perlindungan kepada whistleblower perlu diperkasakan menerusi pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang lebih berkesan,“ katanya.
Transformasi digital dalam sistem kewangan turut ditekankan dengan penggunaan teknologi seperti AI, blok rantai dan analitik data bagi mengesan transaksi mencurigakan serta mencegah rasuah dengan lebih pantas.
Seminar anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Analisa Kewangan SPRM itu dihadiri Timbalan Naib Canselor UUM Prof Dr Ram Al Jaffri Saad dan Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah Bee. – Bernama