BALING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengenal pasti kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh bagi memastikan dapat diusahakan semula untuk meningkatkan hasil getah asli negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata inisiatif itu penting bagi memperkasakan semula industri getah negara sekali gus mengurangkan import getah yang mencecah hampir RM6 bilion.

“Mengikut laporan Lembaga Getah Malaysia (LGM) terdapat 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang sudah matang namun tidak ditoreh. Kita akan minta LGM lihat kawasan ini, kena toreh semula.

“Isu tidak ditoreh ini mungkin disebabkan tuan ladang dah tak larat nak menoreh... Kita akan cari tuan tanah dan berbincang untuk cari jalan bagaimana kita boleh usahakan semula ladang ini,“ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LGM Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Terdahulu, Johari dalam ucapannya berkata industri getah merupakan nadi kepada pembangunan ekonomi negara sejak 100 tahun lepas, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penurunan hasil getah, kekurangan penoreh, persaingan daripada negara pengeluar lain serta kejatuhan nilai eskport.

“Nilai eksport industri getah negara bagi 2023 menunjukkan industri ini kekal menjadi penyumbang ekonomi yang penting dengan sumbangan pendapatan termasuk kayu getah sebanyak RM37.2 bilion.

“Pada 2023 destinasi utama pasaran eksport adalah China diikuti Kesatuan Eropah dan Emiriah Arab Bersatu,“ katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, KPK bersama LGM komited untuk memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa dalam aspek kemampanan.

Daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di negara ini, katanya sebanyak 93 peratus terdiri daripada pekebun kecil, manakala tujuh peratus adalah estet.

Kira-kira 217,000 pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran getah asli negara.

Open Two Websites with Image

Clickable Image