KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan wakil rakyat di negeri itu supaya tidak terlalu sibuk dengan urusan politik sepanjang masa sebaliknya perlu lebih rajin ‘turun padang’ menjenguk rakyat di kawasan yang memilih mereka.
Al-Sultan Abdullah, yang sememangnya terkenal dengan sikap prihatin dan mesra rakyat, bertitah sebagai ‘Ahli Yang Berhormat’, mereka perlu sentiasa hadir di kawasan masing-masing secara berterusan untuk mendengar keluh-kesah dan memahami keperluan masyarakat terutama yang berdepan kesempitan hidup.
“Saya lebih suka tengok setiap wakil rakyat sentiasa berada di kawasan mereka... kita tumpukan kepada isu rakyat dan penuhi keperluan mereka,” titah Al-Sultan Abdullah sewaktu sesi temu bual khas bersama Bernama di Istana Abdulaziz di sini sempena Hari Keputeraan Ke-66 baginda.
Selaku raja pemerintah Pahang, baginda turut berharap agar semua wakil rakyat daripada pihak kerajaan dan pembangkang mewujudkan persefahaman bersama dengan ‘duduk semeja’ bagi menyelesaikan isu berbangkit.
“Pihak kerajaan dan pembangkang perlu duduk bersama dari masa ke masa atau seeloknya sebulan sekali lakukan sesi libat urus sesama sendiri, mana yang tidak betul boleh diperkemaskan, tidak ada perkara dalam urusan kerajaan yang lengkap.Mesti ada kelemahan dan kelebihan sebab kita ini kerajaan manusia.
“Kita satu rumpun dan satu negeri serta harus anggap ini satu medan bersama untuk kita berjuang demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda yang turut mengingatkan semua pihak supaya tidak beremosi ketika berpolitik.
Pada masa sama, bagi memastikan golongan memerlukan menerima bantuan, baginda menzahirkan pengharapan agar semua wakil rakyat termasuk pembangkang perlu diberi pertimbangan untuk mendapat peruntukan sewajarnya.
“Ini kerana mereka dipilih oleh rakyat, jadi mereka perlukan segala bantuan daripada kerajaan untuk bantu rakyat... seeloknya sama rata ataupun sedikit kurang sahaja,” titah Al-Sultan Abdullah yang menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan saluran rasmi bagi membolehkan rakyat terutama di kawasan kampung menyalurkan maklumat tentang keperluan mereka.
Al-Sultan Abdullah sememangnya sejak muda dikenali dengan sifat rendah hati dan tidak kekok mendampingi rakyat, mewarisi sifat berkenaan daripada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang sering mencemar duli menyertai pelbagai program bersama masyarakat di seluruh negeri.
Berpegang pada nilai itu, baginda berazam untuk terus menyantuni dan membantu rakyat sebaik mungkin.
“Saya utamakan rakyat apabila mereka susah tetapi saya tak mampu berkejar ke sana ke sini, mungkin saya hantar anakanda atau pegawai sebagai wakil, sekadar mana yang kita mampu kita cuba bantu sedikit sebanyak,” titah baginda.
“Itu dah dalam darah daging saya, memang daripada dahulu suka menyantuni dan mendampingi rakyat ketika susah dan senang namun saya tidak menganggap itu satu kelebihan tetapi amalan saya daripada muda lagi.
“Saya bukan nak cari sokongan, pujian mahupun tepukan tetapi selagi mana mampu, saya akan bersama rakyat... saya lakukan yang terbaiklah,” titah Sultan Pahang yang turut menzahirkan penghargaan dan rasa terharu kepada rakyat yang sering memberi sokongan kepada baginda.