• 2025-09-12 01:53 PM

KUALA LUMPUR: Penduduk di kawasan berisiko di Sabah diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk berpindah segera apabila diarahkan, bagi memastikan keselamatan nyawa keluarga menjadi keutamaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa pihak berkuasa dan agensi keselamatan meneruskan dan meningkatkan usaha menyelamat, di samping memastikan kebajikan serta keperluan asas mangsa dipenuhi dengan perlindungan terbaik sehingga keadaan kembali pulih.

“Saya berduka dengan perkhabaran bencana banjir yang semakin memburuk di Sabah tatkala lebih daripada 400 mangsa di Penampang dan Beaufort terpaksa meninggalkan kediaman untuk berlindung di pusat pemindahan sementara.

“Doa kami sentiasa bersama kalian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 409 orang daripada 110 keluarga pagi ini, berbanding 154 orang daripada 54 keluarga malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 255 mangsa daripada 56 keluarga dipindahkan di Penampang, manakala 154 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan di Beaufort - BERNAMA