PUTARAJAYA: Wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, yang berniat mengelirukan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri, iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.
“Ini adalah satu fitnah, dakwaan yang cukup jelik yang telah mengambil pada asalnya kenyataan Perdana Menteri dalam satu wawancara dan hanya satu bahagian daripada wawancara itu telah dipotong dan disebar luas bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan Malaysia mengiktiraf kewujudan Israel.
“Kalau kita teliti kenyataan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) secara keseluruhan dalam wawancara tersebut, beliau ada menyatakan pendirian tegas Malaysia melindungi kewujudan, melindungi negara Palestin,“ katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi hari ini.
Fahmi berkata fitnah yang dimainkan pihak yang menyunting video tersebut adalah bersifat tidak adil kerana Anwar serta kerajaan telah berulang kali menyatakan bahawa Malaysia tidak akan pernah berganjak daripada pendirian untuk memperjuangkan Palestin serta rakyatnya.
“Perdana Menteri telah bangkitkan di Parlimen pada hari pertama bersidang, iaitu hasrat Malaysia untuk usul mengeluarkan negara haram Israel di sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)... beliau juga menyatakan pendirian yang paling tegas kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat.
“Bagi saya puak-puak yang menyunting ini ‘no matter what we do, they will never be happy’. Yang penting kita tahu apa yang kita perjuangkan iaitu masa depan yang lebih baik bagi rakyat Palestin,“ katanya.
Video tular tersebut serta beberapa portal mendakwa, Anwar mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan untuk ‘mempertahankan diri’ dalam wawancara tesebut.
Fahmi berkata penyelesaian dua negara ataupun ‘two-states solution’ yang disebut Perdana Menteri dalam wawancara tersebut juga adalah pendirian Malaysia sejak dahulu, malah pernah disebut bekas Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau berkata kenyataan cadangan solusi tersebut pernah dinyatakan bekas Perdana Menteri pada 2002, 2005, 2016, 2020 dan 2021.
“Jelas ini adalah pendirian yang telah dipegang oleh kerajaan sejak sekian lama,“ katanya.
Sementara itu Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan untuk meneliti dan membuat siasatan terhadap penularan video berunsur fitnah berkenaan.
“Saya tegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang terutama rakan media dari membuat laporan, tapi kita harus berhati-hati untuk melayan spekulasi ataupun menterjemah spekulasi seolah-olah ia adalah fakta.
“Seringkali teguran dibuat, tetapi sekiranya perlu kita akan pertimbang tindakan yang lebih tegas jadi saya akan minta MCMC untuk teliti,” katanya.