• 2025-06-25 03:26 PM

HANOI: Perhimpunan Kebangsaan Vietnam pada Rabu meluluskan pindaan terhadap Kanun Keseksaan negara itu, termasuk memansuhkan hukuman mati bagi lapan kesalahan seperti penyelewengan, lapor Xinhua memetik agensi berita Vietnam.

Menurut laporan itu, undang-undang yang dipinda menetapkan bahawa hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan penyelewengan atau rasuah hanya boleh dikurangkan jika pesalah memulangkan sekurang-kurangnya tiga perempat daripada aset yang diseleweng serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa atau membuat sumbangan besar.

Selain penyelewengan, tujuh lagi kesalahan yang tidak lagi membawa hukuman mati ialah subversi, sabotaj terhadap infrastruktur, pengedaran ubat tiruan, penyeludupan dadah secara haram, pencerobohan perang, pengintipan dan rasuah.

Menteri Kehakiman Nguyen Hai Ninh berkata pindaan ini akan mengukuhkan hubungan kerjasama berasaskan kepercayaan bersama serta mencerminkan keupayaan dan tanggungjawab agensi pengurusan serta kehakiman negara dalam konteks semasa.

Undang-undang yang dipinda itu akan dikuat kuasa mulai 1 Julai.