KUANTAN: Seorang wanita yang dilaporkan hanyut selepas kereta yang dinaikinya terjatuh ke dalam Sungai Triang, berhampiran Bandar Baru Bera ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata mangsa Sakirah Akop, 31, ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dikatakan terjatuh pada Isnin lepas.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mangsa daripada orang awam yang sedang berjoging di kawasan berkenaan pada 8.12 pagi.
“Sehubungan dengan itu, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ke lokasi kejadian dan membawa mayat yang dipercayai mangsa lemas ke Jeti Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong Bera.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga itu melibatkan hampir 100 anggota, yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang berada di dalam kereta ketika mengikuti suaminya memancing dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas kereta berkenaan terjatuh ke dalam Sungai Triang.
Zulkiflee dilaporkan berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian sekitar 1.30 tengah hari itu, mangsa bersama anak perempuannya berusia setahun empat bulan berada di dalam kereta Perodua Bezza kira-kira lapan meter dari lokasi suaminya memancing.
Beliau berkata kereta itu kemudiannya bergerak ke hadapan lalu terjatuh ke dalam sungai, dan sebelum kereta itu ditenggelami air, mangsa sempat keluar serta menyerahkan anak k