IPOH: Seorang wanita maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kilometer 363.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat sini hari ini.
Nahas itu melibatkan lori lima tan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dan dua motosikal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai nahas itu pada 6.16 petang.
Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, anggota segera menjalankan operasi menyelamat dengan membawa kesemua mangsa yang cedera ke lokasi selamat.
“Mangsa yang juga penumpang Nissan Serena disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.
“Kelindan lori patah bahu kanan, seorang lagi penumpang lori cedera ringan manakala seorang penunggang motosikal cedera parah dan seorang lagi cedera ringan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.