SHAH ALAM: Seorang lelaki bertindak mencekik teman wanitanya sehingga mati di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang kerana tertekan dengan perasaan dikongkong dalam hubungan mereka.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata warga tempatan berumur 47 tahun itu menghubungi polis pada 8.45 malam memaklumkan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh bergegas ke lokasi sebelum mendapati bilik yang disewa pasangan berkenaan berkunci dan suspek hanya membukanya selepas polis mengetuk pintu beberapa kali.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.”
“Pemeriksaan lanjut oleh dua pembantu pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh pada 10.47 malam mengesahkan mangsa telah meninggal dunia lebih empat jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak mencekik mangsa yang berumur 52 tahun menggunakan tangan kerana tidak tahan dikongkong dalam perhubungan mereka.
Katanya suspek ditahan di tempat kejadian dan direman tujuh hari hingga 30 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata polis memandang serius insiden itu dan menasihati orang ramai agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak mengambil tindakan yang boleh melanggar undang-undang.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Bernama