SEREMBAN: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuka klinik pergigian yang tidak didaftarkan, Disember lepas.

Nur Hafizah Harun, 21, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Wanita itu didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) akta sama.

Dia turut didakwa menjalankan amalan pergigian sedangkan dirinya bukan pengamal pergigian berdaftar, di bawah Akta Pergigian 2018, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 62(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Taman Nusa Intan di sini pada 8.50 malam, 6 Dis lepas.

Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Musfirah Musa menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira kesalahan itu melibatkan kepentingan dan kesihatan awam.

“Penggunaan bahan dan peralatan tidak ketahui kandungan serta tahap kebersihan bukan sahaja berbahaya kepada pelanggan, namun turut mendatangkan risiko kesihatan orang awam dengan penyakit berjangkit seperti Hepatitis B, HIV dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun peguam A. Partheeban yang mewakili wanita itu merayu jaminan rendah kerana anak guamnya kini menganggur dan abang OKS yang akan menjadi penjamin bekerja sebagai kelindan lori.

Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Jun.