KOTA BHARU: Warga emas Saudah Mat Zin yang dilaporkan hilang semalam, ditemukan lemas di Sungai Setol, Bukit Jawa, Selising di Pasir Puteh hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata Saudah, 71, ditemukan pada 12.30 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada polis dan bomba.
“Warga emas itu dilihat kali terakhir pada 7.25 malam semalam, di sebuah rumah di Kampung Bukit Tanah, Selising,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta mereka mempunyai maklumat lanjut berhubung kematian warga emas itu supaya menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh dengan menelefon 09-7867222 atau Balai Polis Selising di 09-7891222 atau di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.