KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga China ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang juruwang wanita rakan senegara yang maut ditikam di sebuah restoran di pusat beli-belah di Cheras, di sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata wanita berusia 34 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, petang semalam.
Beliau berkata hasil bedah siasat terhadap mangsa pada 30 Nov lepas mendapati kecederaan pada paru-paru sebelah kiri serta pendarahan yang disahkan sebagai punca kematian.
“Bagaimanapun sehingga kini, motif pembunuhan dan suspek utama masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rusdi, permohonan reman terhadap wanita berkenaan akan dibuat hari ini.
Beliau berkata permohonan sambung reman terhadap tujuh lagi individu terdiri daripada dua lelaki warga China, empat warga Myanmar termasuk dua wanita, dan seorang lelaki tempatan, akan dibuat selepas tempoh reman pertama tamat esok.
Pada 29 Nov lepas, media melaporkan wanita warga China maut dipercayai ditikam di pusat beli-belah di Cheras antara 3 hingga 4 petang.
Mangsa berusia 49 tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan.
Pada 30 Nov, polis telah menahan tujuh individu yang juga rakan sekerja bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Setakat ini 10 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.