SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut dipercayai disengat tebuan dalam kejadian di rumahnya di Taman Semarak, Sungai Pasir dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa Rohani Mohd Shariff, 61, ditemui anak lelakinya sedang menahan kesakitan ketika pulang ke rumah pukul 8 malam semalam.

“Mangsa memberitahu anaknya bahawa dia disengat tebuan dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata siasatan mendapati kematian warga emas itu tidak mempunyai unsur jenayah.

Menurutnya semakan mendapati mangsa tidak mempunyai rekod kesihatan sebelum ini dan pemeriksaan pada badan mangsa menemui satu kesan sengatan sahaja.