KUALA LUMPUR: Perkahwinan dengan rakyat tempatan telah dikenal pasti sebagai modus operandi utama warga asing untuk menjalankan perniagaan secara sah di Malaysia.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh menjelaskan bahawa Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 hanya membenarkan warganegara dan pemastautin tetap mendaftar perniagaan milikan tunggal atau perkongsian.
“Terdapat warga asing yang mengambil kesempatan dengan mendaftar perniagaan atas nama pasangan tempatan mereka,“ katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 bagi KPDN di Dewan Negara.
Fuziah menyatakan pihaknya sering menerima aduan daripada peniaga tempatan yang berasa tergugat dengan keadaan tersebut walaupun pendaftaran perniagaan tersebut adalah sah dari segi undang-undang.
Pendaftaran perniagaan seperti kedai runcit di bawah Akta 197 terhad kepada warganegara Malaysia atau pemastautin tetap sahaja sebagai langkah perlindungan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
“SSM tidak mempunyai undang-undang yang melarang pendaftaran perniagaan oleh mereka yang berkahwin dengan warga asing,“ jelas beliau.
Pelbagai saranan telah diterima termasuk mengehadkan pendaftaran perniagaan kepada pasangan warga asing dalam tempoh tertentu selepas berkahwin.
Tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga asing dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan memandangkan KPDN tidak mempunyai kuasa tangkapan.
Pekerja asing tidak dibenarkan duduk di kaunter juruwang tetapi boleh bekerja di stor untuk mengira stok dan mengangkat barang mengikut permit yang diberikan. – Bernama