Your Title

KLANG: Akibat takut dicekup, segelintir warga asing menggunakan “taktik gerila” bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi penguatkuasaan di Kompleks Pasar Meru, Klang awal pagi tadi.

Tinjauan Bernama dalam operasi yang bermula pada 5.30 pagi itu menyaksikan terdapat warga asing yang bukan sahaja merangkak dan menyorok di dalam longkang yang sempit, tetapi juga sanggup memanjat bumbung kedai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata dalam operasi itu, sebanyak 598 pendatang asing ditahan daripada 630 individu yang diperiksa dengan kesemuanya berumur antara 17 hingga 57 tahun.

Beliau berkata antara alasan yang digunakan pendatang asing terbabit bagi mengelak ditahan ialah mendakwa diri mereka sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Dalam operasi ini, sebanyak 530 warga Myanmar, Bangladesh (85), Indonesia (7), India (5), dan seorang warga Nepal telah diperiksa dan mereka akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,“ katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan tamat pada kira-kira 7 pagi tadi.

Turut hadir pada operasi itu, Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain melibatkan kekuatan keseluruhan sebanyak 153 pegawai JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA), MBDK dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jafri berkata pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, Abd Hamid berkata berdasarkan pemeriksaan awal pihaknya dalam operasi itu, dipercayai hampir 50 peratus daripada keseluruhan 600 lot yang telah dilesenkan MBDK disewakan kepada warga asing.

Beliau berkata justeru, pihaknya akan melaksanakan pemeriksaan lanjut dengan segera bagi mengenal pasti jumlah sebenar lot yang terlibat untuk memastikan kemudahan berkenaan tidak disalahgunakan.

“Kita sedia maklum kemudahan yang disediakan oleh MBDK ini disewakan dengan harga yang murah, jadi apabila ada yang mengamalkan ‘Ali Baba’, mungkin dia sewakan kepada warga asing ini dengan harga yang mahal.

“Dari segi dasar, tindakan itu boleh membatalkan penyewaan dan lesen kepada pemilik ... seandainya kita dapat kenal pasti dalam semakan susulan, mereka juga akan disenaraihitamkan,“ katanya.