KOTA TINGGI: Polis menahan seorang warga emas dan merampas selaras senapang patah laras tunggal buatan sendiri, 170 butir peluru ‘buckshot’ serta pelbagai peralatan membuat senjata selepas menyerbu sebuah rumah di Ladang Pasir Panjang di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata lelaki berusia 65 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman kira-kira 12 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati warga emas itu bukan sahaja mahir membuat dan membaiki senjata api, tetapi juga menjalankan pekerjaan sambilan membaikinya.
“Suspek berkata senapang itu digunakan untuk memburu haiwan secara haram dan dia tidak mempunyai lesen senjata,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas dua bongkah kayu udi senapang, dua laras barrel dan hand guard, satu rumah picu (trigger house), 26 komponen senapang patah, sebuah Proton Wira, 11 unit peralatan mesin serta dua telefon bimbit dalam serbuan itu.
Yusof berkata polis juga menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan dadah, dipercayai pelanggan suspek.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu didapati negatif dadah dan mereka direman empat hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.