• 2025-07-19 08:56 PM

TAMPIN: Seorang pejalan kaki warga emas maut dipercayai digilis beberapa kenderaan di Jalan Gemas-Tampin berhampiran CK Timber Hardware Industrial, Gemas di sini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi ketika mangsa sedang melintas jalan.

“Polis menerima maklumat pada 7.15 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenal pasti,“ katanya.

Beliau menambah, sebuah lagi kenderaan dipercayai melanggar mangsa yang berada di tengah jalan selepas kemalangan pertama. “Mangsa memakai pakaian gelap dan lokasi kejadian tiada lampu jalan,“ jelasnya.

Mayat lelaki berusia 65 tahun itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. - Bernama