JOHOR BAHRU: Seorang warga emas maut manakala empat lagi terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya, Masai di sini tengah malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamatan (BBP) Johor Jaya Penguasa Kanan Bomba II Saifulbahri Mahpop berkata sebanyak 33 anggota termasuk dari BBP Pasir Gudang dan Pasukan Bomba Sukarelawanan Mount Austin digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.13 tengah malam.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia Md Aris Samar, 84, manakala anak perempuan Hamizah, 57, dan tiga cucunya Ezzatty Haida Affendy, 21, Ezzatty Hazrina, 18 dan Ezzatty Hadirah, 16 terselamat.

“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres struktur kebal dengan setiap rumah berkeluasan 20x15 kaki. Dua rumah musnah 20 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus.

“Mangsa maut dari yang rumah musnah 80 peratus, ditemui rentung di tingkat atas,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifulbahri berkata operasi pemadaman tamat pada 3.09 pagi.