• 2025-10-12 05:25 PM

IPOH: Seorang lelaki warga Nepal maut selepas tersepit dalam mesin pengisar pasir di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Batu Gajah 3 dekat Batu Gajah hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 10.29 pagi.

“Mangsa berusia 36 tahun didakwa tersepit selepas tertarik masuk ke dalam mesin yang beroperasi secara automatik dengan tiba-tiba semasa sedang melakukan penyelenggaraan untuk mengeluarkan bahan tersangkut pada pengisar,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata juruteknik syarikat membantu menghidupkan mesin secara manual dan memusingkan mata pengisar sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah tamat pada 12.50 tengah hari. – Bernama